Pelaksanaan Kempen Bumi Hijau (Amalan Bercucuk Tanam) telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober 2005 dan dirasmikan di peringkat Kebangsaan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 3 Mac 2006. Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.Kempen ini akan dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama dikalangan penduduk-penduduk taman perumahan di bandar. Kempen ini juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan disamping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik.
Kementerian Pertanian dan Asas Tani bercadang untuk melancarkan program Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan dengan mengadakan satu majis perasmian secara anjuran bersama antara Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Jabatan Pertanian Putrajaya akan mewakili MOA dan Perbadanan mewakili KWP sebagai pelaksana program Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan.Perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, dalam tempoh terdekat. Selaras dengan perasmian ini, pihak Perbadanan Putrajaya turut mengadakan pameran semasa majlis berlangsung dan juga pameran susulan di Karnival dan Promosi Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan di Alamanda Putrajaya selama 2 hari berturut-turut.